LEMBAGA KOKO MALAYSIA (LKM)

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPPK)

 
Panduan Mengemukakan Permohonan
 

Sila baca semua panduan sebelum mengemukakan permohonan

 

BAHAGIAN A — PERMOHONAN

BAHAGIAN B — URUSAN LAIN YANG BERKAITAN

BAHAGIAN C — SIJIL PERAKUAN KEMAHIRAN PEKERJA ASING

BAHAGIAN D — MAKLUMAT UMUM

 
 
BAHAGIAN A PERMOHONAN
 
1.0    CARA MEMOHON
 

1.1    Permohonan hendaklah dikemukakan menggunakan borang LKM/PKPA-1 yang boleh didapatkan secara percuma dari Lembaga Koko Malaysia atau dimuat turun (download) di sini . Borang LKM/PKPA-01 perlu ditaip dan diisi selengkapnya dengan kemas dalam tiga (3) salinan. Dua (2) salinan diserahkan kepada LKM dan satu (1) salinan lagi disimpan oleh majikan untuk rujukan di masa hadapan.

 

1.2    Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan terus ke LKM sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh permit kerja pekerja asing dengan menyertakan bersama:-

   
(i) Sampul Surat POS EKSPRES bersaiz 353mm X 250mm beralamat sendiri dan;
   
(ii) Bayaran sebanyak RM 140.00 dan RM 230.00 secara berasingan bagi setiap pekerja dalam bentuk Bank Draf/Wang Kiriman Pos atas nama ‘KETUA PENGARAH LEMBAGA KOKO MALAYSIA’  (Tempoh sahlaku bayaran sekurang-kurangnya 3 bulan)
   
 

KEPADA:  
Ketua Pengarah
Lembaga Koko Malaysia
Tingkat 5 & 6, Wisma SEDCO
Lorong Plaza Wawasan
Off Coastal Highway
Beg Berkunci 211, 88999 Kota Kinabalu
Sabah.
(U/P : Setiausaha Jawatankuasa Perakuan Kemahiran Pekerja Asing)

Tel : 088-255320
Fax : 088-253037
E-mail: pkpa@koko.gov.my

1.3   Majikan yang mengemukakan borang melalui pos dinasihati menggunakan pos berdaftar. Walau bagaimanapun, LKM tidak akan bertanggungjawab terhadap kehilangan atau kelewatan permohonan.

 

1.4   Permohonan yang lewat, atau tidak lengkap, atau tidak memenuhi mana-mana keperluan yang dinyatakan, AKAN DITOLAK DAN DIKEMBALIKAN.

 

1.5   Sila lengkapkan LAMPIRAN A dan kembalikan kepada agensi  ini sekiranya majikan tidak menerima sebarang jawapan dua (2) bulan dari tarikh permohonan dibuat.


BAHAGIAN B — URUSAN LAIN YANG BERKAITAN
2.0    PENILAIAN
 

2.1   Pegawai Penilai yang dilantik oleh LKM akan menghubungi majikan terlebih dahulu sebelum melakukan penilaian. Penilaian akan dilakukan di premis LKM atau majikan berasaskan kepada portfolio pekerja, pemerhatian terhadap kemahiran pekerja dan soaljawab atau temubual dengan pekerja dan majikan.

 

2.2    Semasa penilaian, majikan dikehendaki :-

 

(i) Menyediakan pasport pekerja asing yang terlibat untuk disemak oleh Pegawai Penilai yang dilantik oleh LKM.
   
(ii) Memastikan semua pekerja asing yang memohon perakuan berada di premis/tempat kerja untuk dinilai kemahiran mereka oleh Pegawai Penilai yang dilantik oleh LKM.
   
(iii) Menyerahkan portfolio/fail pekerja asing kepada Pegawai Penilai yang dilantik oleh LKM.    Hanya satu portfolio harus disediakan oleh majikan.
   
(iv) Isi kandungan portfolio/fail pekerja asing:
   
  a. Salinan pasport & permit kerja yang disahkan oleh majikan.
     
  b. Salinan surat tawaran kerja yang disahkan majikan.
     
  c. Senarai tugas yang disahkan oleh majikan.
     
  d. Bukti keterampilan pekerja asing seperti sijil latihan, gambar, buku log, perakuan majikan (testimonial) dll. yang disahkan majikan

 

2.3    Pekerja asing yang didapati tidak memenuhi kriteria sebagai pekerja mahir dianggap GAGAL DAN BAYARAN TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

 

2.4     Tiada bayaran tambahan dikenakan.
 

BAHAGIAN CSIJIL PERAKUAN KEMAHIRAN PEKERJA ASING

 
3.0      PENGELUARAN SIJIL
 

3.1     Sijil Perakuan akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah LKM kepada majikan.

 

3.2     Sijil Perakuan TIDAK BOLEH DILAMINATE.

 
4.0     SIJIL HILANG, TIDAK DITERIMA ATAU ROSAK
 

4.1    Sijil Perakuan yang HILANG, majikan boleh memohon sijil Perakuan Gantian dengan  mengemukakan kepada LKM perkara-perkara berikut:-

 
(i) Salinan yang sah  laporan/repot Polis;
   
(ii) Borang Akuan LKM/PPPA-01 yang telah dilengkapkan. Borang ini boleh diperolehi dengan percuma di Lembaga Koko Malaysia, Tingkat 5 & 6, Wisma SEDCO,  Lorong Plaza Wawasan Off Coastal Highway, Beg Berkunci 211, 88999 Kota Kinabalu, Sabah atau pejabat-pejabat LKM yang terdekat atau di muat turun di sini.
   
(iii) Bank draf/wang kiriman pos atas nama KETUA PENGARAH, LEMBAGA KOKO MALAYSIA sebanyak RM 20.00 bagi setiap sijil gantian.
   
(iv) Salinan passport dan permit kerja pekerja asing yang telah disahkan majikan
   
(v)  Surat permohonan rasmi daripada majikan

 

 
4.2    Sijil Perakuan  yang ROSAK (dilaminate, koyak, dsb).  Majikan perlu:-
 
(i) mengembalikan sijil Perakuan yang rosak tersebut; dan
   
(ii) mengemukakan perkara-perkara seperti di 4.1(ii), 4.1(iii), 4.1(iv) dan 4.1(v) kepada LKM
   

 

 

4.3    Sijil Perakuan yang TIDAK DITERIMA, majikan boleh memohon Sijil Perakuan dengan mengemukakan kepada LKM perkara seperti di 4.1 (ii), 4.1 (iii), 4.1 (iv) dan 4.1 (v)

 

4.4    Majikan akan dihubungi apabila sijil Perakuan Gantian pekerja asing mereka telah siap dan hanya akan diserahkan kepada majikan/wakil majikan sahaja.

 

BAHAGIAN DMAKLUMAT UMUM

 
5.0    Arahan terkini Jabatan Imigresen berkuatkuasa 16 September 2003:
 

5.1   Permohonan Menduduki Ujian Kemahiran Pekerja Asing dari LKM boleh dipohon mula tahun keempat PL(KS) pekerja asing.  Manakala PL(KS) pekerja asing tahun kelima pula sah laku tiga (3) bulan sebelum PL(KS) tersebut tamat.

 

5.2   Lanjutan PL(KS) selama enam (6) bulan sementara menunggu keputusan Perakuan Kemahiran Pekerja Asing adalah dibatalkan.

 

5.3    Mulai 1 Januari 2005, lanjutan PL(KS) pekerja asing selepas tahun kelima dengan surat Kemahiran Pekerja Asing hendaklah dikemukakan kepada Ibu Pejabat atau Pejabat Imigresen Negeri sebelum PL(KS) tersebut tamat dan tarikh cetakan sijil Perakuan Kemahiran tersebut hendaklah dalam tempoh PL(KS) masih berlaku.

 
6.0    PERINGATAN
 

6.1    Permohonan yang telah dihantar oleh majikan tetapi masih tidak lengkap akan dipulangkan dan dimaklumkan kepada majikan.  Majikan perlu melengkapkan permohonan tersebut dan permohonan yang lengkap sekurang-kurang tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh PL(KS) pekerja asing tersebut.

 

6.2    Pengesahan setiap dokumen berkaitan dan permohonan oleh majikan mesti mengandungi perkara berikut:

 
    1. Tandatangan Majikan / Pegawai Bertanggungjawab daripada syarikat organisasi.
    2. Cop Jawatan Majikan / Pegawai Bertanggungjawab daripada syarikat / organisasi  yang menandatangani dokumen tersebut; dan
    3. Cop Syarikat / Organisasi Majikan.
 
7.0      CARTA ALIR PEMPROSESAN PERMOHONAN
 

Untuk muaturun versi PDF:

1. Panduan Mengemukakan Permohonan

2. Lampiran A
 

Hakcipta© 2006 Malaysian Cocoa Board